Skip to main content

JODOH DAN PERKAHWINAN


                                       My New Life Has Begun  Wife to Husband
                                           May Allah bless our "JOURNEY" always

                                               
Kehidupan ini tidak seindah yang kita sangkakan. Adakalanya kita di atas dan adakala kita di bawah. Kita sahaja yang boleh mengubah atau merancang kehidupan kita dan PENENTUNYA adalah ALLAH. Usaha yang diiringi dengan Doa dan Tawakal adalah satu kombinasi yang perlu ada dalam diri kita sebagai Umat Islam. Usaha sahaja tidak akan membuahkan kejayaan jikalau Allah tidak mengizinkan, Doa perlu dipanjatkan kepada-NYA kerana DIA adalah sebaik-baik PENDENGAR dan PEMBERI. Barulah kita dapat membentuk KEIMANAN dalam diri kita.


        JODOH RAHSIA ALLAH


             Saya tertarik dengan kata-kata yang saya petik dari laman sesawang                                                  https://iluvislam.my/kerana-jodoh-rahsia-allah/


"Jodoh itu rahsia Allah. Sekuat mana kita setia, selama mana kita menunggu, sehebat mana kita merancang, sekeras mana kita bersabar, sejujur mana kita berbagi kasih, ia tetap rahsia Allah."

                                                 *******************************************
“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An-Nisaa’: 1)


Akan tetapi ada juga di kalangan Hamba Allah yang tidak cuba untuk memahami situasi yang dihadapi oleh mereka yang berjodoh lambat/lewat usia. Secara positifnya, ini mungkin bukan permintaan atau kehendak mereka, akan tetapi takdir untuk mereka tempuhi. Kenyataan atau pertanyaan yang berkaitan dengan jodoh akan sedikit sebanyak membuatkan mereka berkecil hati, mungkin juga tertekan, malu, sedih, kecewa dan lain-lain. Belajarlah memahami perasaan mereka dan mereka sendiri tidak tahu siapa jodoh mereka dan bagaimana mereka akan diketemukan dengan jodoh mereka. Sejujurnya ada juga yang mencemuh dan memerli dengan perkataan yang tidak sepatutnya. Kita sebagai Umat Islam perlulah mempercayai Qada dan Qadar kerana JODOH ADALAH RAHSIA ALLAH. 

Paradigma terhadap lewat jodoh adalah "anak dara tua, anak dara lewat usia, anak dara tak laku, anak dara memilih dan mungkin banyak lagi. Istilah tersebut mungkin menjadi perkara sensitif bagi sesetengah individu dan mungkin juga boleh melukakan hati dan perasaan individu tersebut serta boleh menimbulkan konflik di jiwa mereka. Status mereka sebagai individu yang belum berkahwin akan membuatkan ahli keluarga dan sahabat handai cenderung mendorong individu tersebut untuk segera mendirikan rumahtangga. Namun, perhatian dari individu sekeliling yang terlalu berlebihan juga akan membuatkan individu tersebut merasa tertekan dan tidak selesa. Kesannya daripada hal ini, membuatkan individu tersebut akan sentiasa mengelak daripada aktiviti sosial yang sihat.

Di dalam Kitab Luh Mahfudz, Allah telah menetapkan jodoh, rezeki dan ajal maut setiap hambanya. Namun begitu, bukan bermaksud kita tidak boleh memilih jodoh sendiri, Allah memberikan kita peluang untuk memilih jodoh bagaimana yang kita inginkan. Tetapi kita seharusnya sudah faham bahawa kita merancang Allah yang menentukannya. Kita juga perlu ingat, jikalau kita inginkan jodoh yang baik, maka peribadi kita terlebih dahulu perlulah baik, begitulah sebaliknya jika kita tidak mempunyai peribadi yang baik, maka jangan kita terlalu mengharapkan jodoh yang baik.

Kepada yang lewat/lambat jodoh, Allah telah takdirkan sesuatu yang terbaik. Allah bagi peluang untuk kita berbakti kepada ibubapa sebaik mungkin tanpa sebarang halangan, boleh menyambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi, bina kerjaya yang lebih kukuh, boleh pergi mengembara mengelilingi dunia, membantu keluarga, memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan banyak lagi. Usah risau mahupun khuatir, ada hikmah di sebaliknya dan banyakkan berdoa dan meminta daripada Allah. Teguhkan iman, kuatkan hati dan terus bersabar. Dunia hanya persinggahan sementara. Tiada yang kekal.


PERKAHWINAN DALAM ISLAM
Petikan daripada:-
https://pengajianislam.pressbooks.com/chapter/perkahwinan-menurut-islam/
http://ii.islam.gov.my/articles/munakahat/munakahat.php


Pembentukan institusi keluarga Islam bertitik tolak daripada perkahwinan. Perkahwinan merupakan ikatan antara lelaki dan wanita melalui akad nikah dan ijab kabul. Maksud perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab.Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya. Perkahwinan merupakan satu peristiwa bersejarah yang tidak wajar dilupakan oleh seseorang yang beriman.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bilah menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat.Tetapi, jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka seorang sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki.Yang demikian itulah yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya.” (Surah al-Nisaa’: 3)

Dari ayat tersebut di atas, dapat diambil penjelasan bahawa seorang lelaki disuruh oleh Allah Taala untuk berkahwin jika berkemampuan, sehingga kepada empat orang isteri dengan cara berlaku adil terhadap mereka sepertimana yang ditentukan oleh syarak. Sebaliknya jika bimbang tidak dapat berlaku adil maka berkahwinlah dengan seorang sahaja.

Sementara Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Adalah Nabi s.a.w. memerintah kami berkahwin dan menegah kami daripada membujang dengan tegahan yang keras. Dan sabda Baginda: Kahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu kerana sesungguhnya aku berbangga kerana banyak bilangan kamu pada hari kiamat kelak.(HR. Imam Ahmad)

Islam juga memberi panduan yang jelas bagi seseorang lelaki memilih jodoh. Namun begitu, Islam lebih mengutamakan perempuan beriman kerana hanya keimanan saja dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Sabda Rasulullah s.a.w.:

Janganlah wanita itu dikahwini kerana kecantikannya mungkin kecantikannya menyebabkan dia berperangai buruk. Dan jangan pula kerana kekayaannya kerana mungkin kekayaannya menyebabkan dia menjadi sombong dan tetapi kahwinlah wanita itu kerana agamanya. Dia seorang hamba yang hitam kulitnya tapi bersih agamanya adalah terlebih utama. (HR. Baihaqi)

Adakah anda faham apakah yang dimaksudkan dengan nikah? Nikah dari segi bahasa ialah ikatan atau simpulan. Manakala, menurut istilah syarak, ia bermaksud suatu ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta tolong-menolong antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan mahram.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku. (HR. Ibnu Majah)

Memandangkan kelengkapan ajaran Islam dalam menjamin kesejahteraan rumahtangga, keturunan dan keselamatan umat, maka syariat Islam telah mengadakan beberapa peraturan hukum perkahwinan agar manusia tidak akan tergelincir ke dalam kerosakan dan kehancuran kerana sudah menjadi fardhu ain terhadap orang Islam dan mengaku dirinya Islam wajib mempelajari hukum-hukum Allah termasuk hukum nikah cerai dan rujuk.

Perkahwinan hendaklah diasaskan kepada beberapa faktor penting untuk menjamin kebahagiaan antaranya ialah :
  1. Perkahwinan diasaskan dengan rasa taqwa kepada Allah.  Tanpa taqwa, dikhuatiri perkahwinan itu tidak akan mencapai kepada matlamatnya, tambahan pula berkahwin itu juga merupakan ibadat dan sunnah.
  2. Perkahwinan hendaklah juga diasaskan kepada rasa Al Mawaddah dan Ar Rahman.  Tanpa dua perkara ini perkahwinan akan hancur dan tinggallah cita-cita sahaja. 
  3. Sesebuah rumahtangga juga perlu diasaskan kepada dasar hidup bersama secara yang baik dan diredhai Allah SWT.  Maka itulah yang biasa disebut Al Mu’assarah Bi Al Maaruf. 
  4. Perkahwinan juga berasaskan kepada amanah dan tanggungjawab bukannya kehendak nafsu semata-mata.  Suatu amanah hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya, sementara tanggungjawab dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas hati.

Hikmah Perkahwinan

Setiap ciptaan Allah SWT mempunyai faedah dan hikmahnya yang tersendiri.Faedah dan hikmah tersebut boleh dilihat dan difikir oleh akal manusia, hanya Allah Taala sahaja yang mengetahuinya.Begitulah juga dengan perkahwinan, mempunyai faedah dan seterusnya kepada masyarakat Islam.

Di antara faedah dan hikmahnya ialah :-
  1. Supaya manusia itu hidup berpasangan menjadi suami isteri yang sah bagi mengatur dan membangunkan rumahtangga dengan janji-janji setia (akad nikah) sehidup semati.
  2. Supaya perhubungan lelaki dan wanita akan lebih bermakna lagi di sisi Allah dengan ikatan dan pertalian yang kukuh di mana tidak mudah putus atau diputuskan.
  3. Membangunkan masyarakat dari asas-asas rumahtangga yang damai dan berdisiplin.
  4. Supaya umat manusia berkembang biak bagi meramaikan dan memakmurkan bumi Allah yang luas ini.
  5. Supaya dapat melahirkan keturunan bangsa manusia yang diakui sah serta kekal pula dalam masyarakat dan negara.
  6. Supaya dapat menumpukan perasaan mahabbah, kasih sayang, tanggungjawab seorang suami kepada isteri, seorang bapa kepada anaknya, seorang datuk kepada cucunya dan seterusnya dari sebuah masyarakat kepada negara.
  7. Perkahwinan membuka pintu rezeki serta nikmat hidup.
  8. Perkahwinan memelihara agama, kesopanan, kehormatan dan kesihatan.
  9. Menyempurnakan naluri manusia bagi mendapat kepuasan nafsu dan keinginan syahwat serta menjauhkan diri dari gangguan godaan maksiat dan kezaliman yang amat dilarang oleh agama.
  10. Pendek kata perkahwinan adalah peraturan dari Allah Taala yang diturunkan untuk kebaikan seluruh masyarakat manusia bagi mencapai kebahagiaan umat dengan baik dan sempurna. Jika keadaan rumahtangga itu kucar kacir dan tidak kukuh, maka keadaan umat itu juga turut lemah dan sengsara akhirnya.



Comments